Assalamualaikum, Selamat Datang!



 

Al-Quran sejak diturunkan kepada baginda Nabi SAW merupakan satu-satunya kitab samawi yang tidak mempunyai sebarang penyelewengan dan kepalsuan seperti yang telah berlaku kepada kitab-kitab sebelumnya. Al-Quran yang diturunkan melalui perantaraan Malaikat Jibril AS diakui oleh penduduk Makkah sebagai satu sumber yang mengandungi berbagai keajaiban antaranya ialah keaslian sastera dan uslub bahasa Arab yang sukar ditandingi. Seorang pengkaji Barat, Profesor Sir William Moer pernah menyebut :

 

"Tidak terdapat pun di dalam dunia sekarang ini sebuah kitab yang lebih suci melainkan al-Quran. Al-Quran merupakan satu-satunya kitab yang muncul semenjak 14 kurun yang lalu, kekal tanpa sebarang penyelewengan dan pemindahan."

 


Adapun kitab Taurat, sememangnya setiap Muslim wajib percaya bahawa ia adalah wahyu yang diturunkan kepada Nabi AS. Tetapi kitab Taurat yang ada sekarang ini di tangan Yahudi yang dikenali dengan nama 'Perjanjian Lama' adalah kitab yang telah diselewengkan dalam berbagai versi terjemahan antaranya Genesis, Exodus, Deutronomi, Number dan Levicitus kononnya disebut Taurat. Selain kitab 'Perjanjian Lama' orang Yahudi memiliki satu kitab lagi yang disebut sebagai Talmud.

 


Banyak tafsiran yang menyeleweng dibuat oleh pendeta-pendeta Yahudi sehingga mereka mentakwilkan apa sahaja ayat yang menyentuh kepada persahabatan dan kepentingan manusia dikhususkan kepada kaum Yahudi semata-mata. Mereka menganggap bangsa lain adalah binatang yang boleh ditindas sesuka hati. Kitab yang didakwa kononnya Taurat itu juga pernah memuatkan isi kandungan yang tidak masuk akal apabila Tuhan diriwayatkan kalah dalam perlawanan Tuhan dengan Syaitan. Jelasnya ajaran mereka yang memusuhi bangsa adalah suatu dusta yang jauh terpesong dari ajaran para nabi dan rasul-rasul AS terdahulu yang menyemai akidah yang benar, kasih sayang, persaudaraan, hak kemanusiaan, dan sebagainya.

 


Kitab Talmud pula, juga membawa fikrah yang menyesatkan apabila ayat-ayat asal daripada kitab Taurat yang berkaitan dengan amalan keagamaan dibuat penafsiran dan dicampur dengan kefahaman yang bercanggah dengan makna asal sebutannya. Pengharaman mencuri contohnya, sepatutnya ditujukan kepada umum manusia, tetapi amalan syariat mereka mengharuskan mencuri daripada orang selain Yahudi. Bahkan para pendeta Yahudi pernah mengeluarkan fatwa  mengharuskan pembunuhan terhadap orang-orang awam oleh tentera Yahudi dalam peperangan sebagaimana yang dilakukan di Lubnan meskipun kitab mereka menyebut sabaliknya. Ini sangat berbeza dengan syariat islam yang memuliakan hak kemanusiaan secara mutlak tanpa mengira agama, bangsa, keturunan, warna kulit dan, sebagainya seperti firman Allah SWT.

 


"Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami bawa mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan".

[al-Isra ; 70]

 


Nabi SAW sendiri pernah berdiri kerana menghormati jenazah seorang Yahudi yang dibawa. Apabila para sahabat bercakap-cakap mengenai Yahudi tersebut, lalu baginda menegah dengan bersabda:

 

"Tidakkah dia juga adalah satu jiwa?".

 

Diriwayatkan juga bahawa Nabi SAW pernah melawat seorang Yahudi yang sakit tenat dan mengajak memeluk Islam untuk memperoleh kesejahteraan di akhirat. Semua ini menandakan islam menghormati hak dan hubungan kemanusiaan tidak seperti ajaran kitab Yahudi yang telah diselewengkan.

 


Ketetapan al-Quran sememangnya tidak dapat diselewengkan. Walaupun telah berkali-kali usaha meminda dan memalsukan al-Quran dibuat musuh-musuh Islam namun semuanya dipatahkan. Allah SWT telah menjamin kemuliaan dan pemeliharaan ke atas al-Quran hingga akhir zaman. Hinggalah al-Quran diangkat ke langit yang mana menandakan kiamat sudah hampir menjelma.

Posted in Sejarah Al-Quran By Anugerah Quran

Tokoh-tokoh Al-Quran

02/11/2012 11:39

Antara tokoh-tokoh al-Quran pada zaman awal Islam ialah terdiri dari para sahabat RA seperti Zaid bin Thabit, Abdullah bin Abbas, Mus'ab bin Umair, Ibnu Mas'ud, Abu Darda', Abu Musa al-'Asya'ari, Ubai Bin Kaab, Aisyah, Mu'az bin Jabal dan selainnya lagi.

 

Tokoh-tokoh al-Quran di zaman para Tabi'in pula antara yang masyhurnya ialah Ibnu Musaiyyib, 'Urwah, Salim, Umar Ibnu Aziz, Sulaiman bin Yasar, Zaid bin Aslam, Muslim bin Jundab, Ibnu Syihab Azzuhri dan ramai lagi. Tokoh-tokoh ini dikenali sebagai kelompok yang amanah, warak serta dikagumi keperibadiannya oleh masyarakat sezaman dengan mereka.

 

Laman Ilmu Anugerah akan memaparkan tokoh-tokoh al-Quran ini agar pembaca dapat turut sama menanam cita-cita membentuk peribadi mulia seperti mereka.

 

ABDULLAH BIN ABBAS
Beliau merupakan anak kepada bapa saudara Nabi SAW iaitu Abbas bin Abdul Mutalib, yang sentiasa membantu perjuangan Islam selepas pengislamannya apabila ditawan dalam Perang Badar (17 Ramadhan tahun 2 Hijrah). Merupakan sahabat yang faqih dalam ilmu tafsir dan al-Quran. Sempat bersama hayat Nabi SAW selama 30 bulan dan beliau termasuk kaum keluarga Nabi yang menyempurnakan jenazah Nabi ketika sahabat-sahabat lain berhimpun di Tsaqifah Bani Saidah untuk melantik Khalifah bagi meneruskan pemerintahan Islam.


Nabi pernah mendoakan kepadanya sejak kecil lagi dengan doa yang mahsyur yang bermaksud :

 

"Ya Allah, jadikanlah dia seorang yang faqih dalam ilmu agama, dan ajarkanlah dia ilmu takwil."

 

Diriwayatkan bahawa Ibnu Mas'ud telah berkata :

 

"Sebaik-baik penterjemah al-Quran ialah Ibnu Abbas (Abdullah bin Abbas)."

 

Beliau meriwayatkan suatu ketika Saidina Umar RA pernah membawa beliau menyertai mesyuarat bersama-sama sahabat tua di kalangan ahli Badar, beliau ketika itu masih kecil. Lalu ditanya kepada para sahabat berkenaan firman Allah SWT dalam surah an-Nasr. Lalu dikalangan para sahabat memberi penafsiran dengan berkata ;
Ia (ayat dalam surah an-Nasr) adalah perintah bersyukur kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya apabila kita dikurniakan kemenangan. Sebahagian lain pula diam. Lalu Saidina Umar bertanyakan pendapat Abdullah bin Abbas. Lalu Abdullah pun berkata ;

 


Ia (ayat tersebut) adalah menyatakan tanda ajal Nabi SAW.
Berkata Saidina Umar ;
Sesungguhnya aku tidak mengetahui (berpendapat) melainkan apa yang kamu katakan.

Beliau merupakan seorang yang sangat beradab dengan Nabi SAW. Beliau juga pernah meredakan fitnah yang berlaku di kalangan Khawarij dengan bersemuka dan mengajukan pelbagai hujah terhadap kecelaruan pendapat di kalangan mereka sehingga diriwayatkan beliau berjaya menundukkan 20,000 pengikut Khawarij bagi menyertai kepimpinan Saidina Ali KWJ. Diriwayatkan beliau meninggal dunia sewaktu berusia 67 tahun.



Berkata Imam Abu Hanifah di hari kematian beliau :


"Hari ini telah mati (kehilangan) seorang Rabbani (pendidik) ummah ini."

Posted in Sejarah Al-Quran By Anugerah Quran

Sejarah Al-Quran

22/10/2012 10:10

SEJARAH AL-QURAN

 
Al-Quran ialah kalam Allah SWT yang azali, yang dapat melemahkan kebatilan, diturunkan kepada Nabi SAW dengan perantaraan malaikat Jibril AS, yang ditulis pada mushaf, dipindahkan (disebarkan) secara mutawatir, dikira ibadah bagi sesiapa (orang Islam) yang membacanya, dimulakan dengan surah al-Fatihah dan disudahi dengan surah an-Nas. Ini merupakan pengertian kepada al-Quran yang disepakati oleh kebanyakan ulama muktabar. 

 

PENURUNAN AL-QURAN (NUZUL AL-QURAN)

 

Definisi Nuzul al-Quran
Nuzul dari segi bahasanya ialah turun dari tempat yang tinggi. Ini hanyalah majaz atau simbolik kepada ketinggian al-Quran dan kemuliaannya. Dari segi istilahnya pula bermaksud penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul ‘Izzah di langit dunia dan dari langit dunia kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaran Malaikat Jibril yang mengambil masa lebih kurang 23 tahun. Maksud penurunan di sini juga ialah berlakunya perpindahan al-Quran menurut peringkat-peringkat yang tertentu. Ia juga diertikan sebagai satu proses pemberitahuan kepada Nabi SAW untuk disampaikan kepada umat manusia seluruhnya.

 

Proses Penurunan al-Quran
Proses penurunan al-Quran sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama dapat dibahagikan kepada dua bahagian yang utama :

  1.  
    1. Penurunan secara sekaligus.
    2. Penurunan secara beransur-ansur.

 

Bahagian pertama ini pula dapat dibahagikan kepada dua bahagian :

  1.  
    1. Turun al-Quran ke Luh Mahfuz.
    2. Turun al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul ‘Izzah di langit dunia.

 

Ibnu Abbas berpendapat bahawa al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar di dalam bulan Ramadhan secara sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul ‘Izzah di langit dunia. Kemudian diturunkan kepada Nabi SAW secara beransur-ansur selama lebih kurang 23 tahun.Kerana itu bulan Ramadhan juga digelar bulan al-Quran (Syahr al-Quran) kerana Allah telah menurunkan al-Quran kepada Nabi SAW pada bulan ini. Peristiwa agung ini berlaku pada 17 Ramadhan tahun 610M ketika Nabi SAW berusia 40 tahun semasa baginda sedang berkhulwah di Gua Hira’.Malaikat Jibril AS yang datang telah memeluk kemas baginda dan menyuruh baginda membaca. Setiap kali disuruh, Nabi SAW menjawab, “Aku tidak tahu membaca.” Akhirnya Jibril AS mengajar Nabi SAW 5 ayat pertama daripada surah al-Alaq.Penurunan 5 ayat ini adalah permulaan tugas beginda sebagai utusan Allah (Rasul) untuk menyuruh manusia kepada kebenaran dan menyelamatkan diri daripada terus dilingkungi gelap pekat jahiliah.

Posted in Sejarah Al-Quran By Anugerah Quran

Sihir

26/09/2012 4:36

SEJARAH SIHIR

 


Sihir telah wujud sekian lama. Ianya satu kesyirikan terbesar hasil tipu muslihat Iblis dan syaitan yang mahu anak cucu nabi Adam as menyekutukan Allah dan bersengketa dengan sebab sihir. Allah s.w.t. telah berfirman di dalam kitab suci Al Quran tentang sihir yang berlaku di zaman Nabi Musa a.s. Pengamal sihir ketika itu bernaung di bawah Firaun namun mereka dikalahkan dengan mudah oleh Nabi Musa lantas beriman dengan Allah. Sihir juga berlaku di zaman baginda Nabi saw.

 


ADAKAH PERNAH TERKENA SIHIR

 


Persoalan ini telah menjadi pertikaian para ulama Islam.  Maka dalam hal ini kita merujuk kepada Hadith Sahih riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
Dari Aisyah:

 


"Nabi pernah disihirkan sehinggalah Baginda menyangkakan bahawa ia telah mendatangi mereka (isteri-isteri) sedangkan ia tidak mendatangi mereka"

[HR Bukhari & Muslim]

 


Ulama-ulama yang menafikan hal ini memberi alasan bahawa hal ini merupakan sesuatu yang mengaibkan martabat  Rasulullah saw. Namun menurut Qadhi Iyadh katanya,

 

"(kejadian sihir) ini tidak mencacatkan kebenaran Baginda kerana telah ijmak bahawa Nabi dipelihara dari sudut itu.  Cuma yang berlaku hanyalah perkara yang harus ke atas Rasulullah, sebagai manusia".

 

Juga Qadhi Iyadh menegaskan bahawa sihir adalah merupakan satu daripada penyakit-penyakit manusia.

 


Dengan ini jelas bahawa adalah tidak mustahil bagi seseorang itu ditimpa penyakit yang disebabkan oleh sihir, akan tetapi hendaklah diingat bahawa ia berlaku atas keizinan Allah swt. Sihir adalah sejenis ilmu yang dikuasai oleh golongan jin dan syaitan.  Oleh itu bagi manusia yang mengamalkan ilmu ini bererti mereka akan memperalatkan dan bekerjasama dengan syaitan bagi tujuan-tujuan tersebut.

 


TANDA-TANDA TERKENA SIHIR

 


Tanda-tanda sihir, antaranya:-

 


1. Seseorang yang baru berkahwin tidak mempunyai nafsu terhadap isterinya.


2. Seseorang itu merasa kadangkala terlalu panas dan kadangkala terlalu sejuk sehingga ia sanggup meminum air yang mendidih.


3. Suami dan isteri yang tiba-tiba sahaja merasa tidak aman, benci-membenci antara satu dengan lain walaupun sebelumnya mereka sangat sayang-menyayangi.


4. Kebiasaannya gejala penyakit yang disebabkan oleh sihir lebih menonjol sewaktu senja.


5. Juga banyak dari penyakit-penyakit baik fizikal atau kejiwaan yang tidak dapat disahkan puncanya oleh doktor-doktor yang pakar.

 


RASUKAN

 


Satu lagi ciri-ciri sihir ini ialah yang menyebabkan si penghidap dirasuk oleh satu kuasa hingga tidak sedarkan diri, mungkin menjerit-jerit, meronta-ronta dan lain-lain.  Kuasa di sebalik kejadian itu ialah daripada golongan jin dan syaitan. Imam At-Tabrani telah meriwayatkan hadis dengan asnad yang Hassan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya:

 


"Jin itu tiga golongan, satu golongan yang mempunyai sayap dan mampu terbang di angkasa, satu golongan berupa ular dan satu lagi golongan yang bertempat dan berpindah".

 


Di dalam Al-Quran juga disebut jin dalam bangsa-bangsa yang disebut jin, ifrit dan syaitan. Bangsa-bangsa jin yang memegang peranan penting itu amatlah banyak, antaranya:-

 


1.         Iblis - bapa segala jin
2.         As Syaitan - syaitan
3.         Al Muraddah - peragu (pewas-was)
4.         Al Afariit - Ifrit (penipu-penipu)
5.         Al A"wan  -penolong-penolong (khadam)
6.         Al-Ghawasuum - penyelam-penyelam
7.         Atthiaruun - penerbang-penerbang
8.         Attawabi" - pengikut-pengikut
9.         Al Qarna" - pengawan-pengawan
10.       Al "Ammar - pemaa"mur-pemaa"mur

Posted in Sejarah Al-Quran By Anugerah Quran