Ada apa dengan bulan Ramadhan?

Standard

bulan ramadan

 

Ramadhan. Sebuah bulan yang diberikan Allah kepada hambanya untuk bersungguh-sungguh dalam beribadah, bersungguh-sungguh untuk memohon keampunan daripada Allah, dan bersungguh-sungguh membentuk diri menjadi mukmin sejati.

Di bulan Ramadhan ini, kita akan dapati ramai muslimin dan muslimat akan kerap bertadarus, kerap bertalaqqi Al-Quran, kerap kelihatan Al-Quran di tangan, kerap mendengar alunan Al-Quran di corong-corong radio dan siaran TV.

Inilah pengisytiharan dari Allah yang menobatkan Ramadhan sebagai bulan al-Quran melalui firmanNya yang bermaksud :

 

Bulan Ramadan, yang di dalamnya diturunkan al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu…”

[al-Baqarah : 185]

Maka semangat dan roh al-Quran ini lebih terasa di bulan Ramadhan. Apatah lagi dengan kempen para ilmuan yang mengetengahkan fadhilat kelebihan menghidupkan al-Quran di bulan Ramadhan. Walaupun dengan hanya memandang al-Quran, tempias pahalanya turut diberikan Allah. Soalnya sekarang, sejauh mana Al-Quran berada dalam hati kita?

 

Hidayah al-Quran

Al-Quran diturunkan bertujuan untuk memimpin dan memandu manusia ke jalan hidayah yang benar dan diredhai oleh Allah SWT. Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 9:

Maksudnya : “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat benar (agama Islam), dan menyampaikan berita gembira yang menggembirakan bagi orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar“.

Rasulullah SAW telah berjaya mentarbiyyah dan membina para sahabat sebagai Generasi Al-Quran, yang benar-benar faham tentang al-Quran sehingga sanggup berkorban kerana Allah. Dengan hidayah al-Quran juga, ramai sahabat yang dulunya keras menentang perjuangan Rasulullah lantas tunduk dan berjuang untuk Islam.

Kerana hidayah dan cintanya pada al-Quran, ada di antara mereka sanggup mengorbankan jiwa dan raga lantas gugur syahid sebagai syuhada’. Sebahagiannya pula, setiap inci tubuh badan mereka  dipenuhi dengan luka-luka kesan libasan pedang, sebahagiannya sanggup menyerahkan harta benda mereka untuk Allah. Ada yang kehilangan ahli keluarga tersayang. Namun mereka tidak pernah merasa rugi dengan kehilangan semua itu, malah mereka sanggup berjuang dan berjihad semata-mata mempertahankan aqidah dan membela agama Allah SWT.

Jika dilontarkan kisah bagaimana Saidina Umar Al-Khattab memeluk Islam, pasti semua sudah maklumi kisahnya. Bagaimana mukjizatnya kalam Allah sehingga bisa melembutkan hati keras Saidina Umar untuk menerima hidayahNya.

Kita kembali di era zaman millennium ini. Jika disebut nama gadis ini, pasti ramai yang mengenalinya. Hana Tajima. Seorang gadis kacukan Jepun dan Inggeris. Kini, beliau terkenal dengan fesyen tudung yang diperkenalkannya. Najwa Latiff. Yuna. Semua mengenakan fesyen hijab sepertinya.

Mula memeluk Islam seawal usia 17 tahun, Hana datang daripada latar belakang keluarga Kristian yang tidak terlalu mementingkan agama dalam kehidupan mereka. Ayahnya berasal dari Jepun manakala ibunya merupakan seorang wanita Inggeris. Minatnya kepada Islam bermula semasa belajar di sekolah tinggi. Hana bertemu dan bersahabat dengan beberapa pelajar Muslim.

Kisah pengislamannya bermula apabila beliau tertarik dengan perilaku kawan-kawannya yang Muslim. Jika diajak pergi berhibur di kelab malam mereka enggan. Dan mereka lebih mudah untuk diajak berbincang tentang sesuatu perkara. Ini membuatkan hati Hana Tajima tertawan dengan Islam. Pergaulan ini menyebabkan Hana Tajima jatuh hati dengan ilmu falsafah, terutamanya falsafah Islam. Dan beliau belajar ilmu ini terus dari sumber asalnya iaitu Al-Quran.

Dan akhirnya, beliau memeluk Islam setelah tidak dapat mengelak daripada menafikan kemukjizatan Al-Quran yang sangat berkait dengan kehidupan manusia. Nah! Inilah yang dikatakan hidayah Al-Quran. Istilah ini selalu diperkatakan. Generasi Al-Quran bukan sekadar mampu untuk menghafaz 30 juzuk Al-Quran, bahkan seseorang yang mampu mengadaptasi kisah-kisah Al-Quran di dalam kehidupan. Segala pemikiran, percakapan, perbuatan dan pengakuan adalah berlandaskan Al-Quran. Inilah hidayah Al-Quran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>