Bagaimana Memperoleh Doa Yang Mustajab?

Standard

doa di depan kaabah

Anda mengalami kesukaran dalam hidup? Apa perlu buat? Nak minta pada siapa?

Cuba fikirkan keadaan ini. Bayangkan anda sudah mencuba pelbagai cara untuk merawat penyakit anda. Anda sudah mengisi borang permohonan untuk memohon bantuan kewangan perubatan. Tak tahu bila agaknya permohonan anda lulus.

Ini adalah kali ke 20 ( mungkin lebih atau kurang) anda berbuat demikian. Anda berharap jika permohonan kali ini lulus, anda boleh membiayai kos rawatan anda itu.

Itu belum dikira berapa banyak ubat yang anda sudah makan. Sampai satu masa ubat yang anda makan sudah jadi seperti makanan harian anda.

Adakah itu sudah cukup?

Itu sebenarnya adalah ikhtiar anda. Anda sudah berusaha sedaya upaya untuk sembuh dari penyakit. Bila masa ia akan sembuh, itu bukan dalam pengetahuan anda.

Kuasa doa yang menakjubkan

Adakah anda tahu bahawa terdapat satu lagi perkara yang anda perlu lakukan? Sebagai seorang hamba yag dijadikan Allah, doa merupakan jalan terakhir yang dipohon kepada Allah untuk membantu anda.

Doa adalah amalan harian sebagai jalan mengingati Allah S.W.T. Tidak kira apa sahaja keadaan; senang, susah, bingung, atau apa sahaja, anda perlu berdoa sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Anas Ibn Malik r.a yang bermaksud:

“Doa itu otak ibadah” (hadis riwayat Tarmizi)

Doa boleh bertindak sebagai manifestasi penyerahan diri seorang hamba kepada Penciptanya. Dalam konteks kaedah rawatan Islam, tujuan berdoa adalah untuk memohon kepada Allah untuk disembuhkan penyakit, memenuhi sesuatu hajat atau meminta dihindarkan daripada gangguan sihir dan makhluk halus. Terdapat beberapa perkara penting yang perlu diambil terlebih dahulu supaya doa anda termakbul.

Menjaga adab ketika berdoa

Memohon doa adalah seperti meminta pertolongan dari pihak berkuasa yang mampu menyelesaikan masalah anda. Sama juga ketika memohon kepada Allah Yang Maha Berkuasa, setakat mana doa itu dapat dimakbulkan adalah bergantung kepada perkara-perkara yang perlu dijaga seperti adab, tempat dan waktu mustajab memohon doa. Antara tertib berdoa yang berpotensi mendapat perkenan Allah ialah:

  • Bertaubat kepada Allah S.W.T terlebih dahulu atas segala kesalahan yang telah dilakukan. Boleh mengerjakan solat sunat taubat dan disusuli dengan beristighfar.
  • Lakukan solat-solat sunat seperti solat tasbih, solat tahajjud dan witir sebelum berdoa.
  • Tadah tangan ke arah kiblat sambil menghadirkan rasa ikhlas di dalam hati dan bersungguh-sungguh untuk memohon hajat ke hadrat Allah S.W.T.
  • Mulakan doa dengan bertasbih seperti Alhamdulillah atau menyebut nama-nama Allah yang agung. Kemudian berselawat ke atas Rasulullah s.a.w.
  • Lafazkan permohonan anda dengan rasa rendah diri dan suara yang sederhana kuat.
  • Berdoalah dengan sepenuh hati. Tanamkan keyakinan dan pengharapan bahawa Allah akan memakbulkan doa anda itu.
  • Disarankan mengulang-ulang doa tersebut sebanyak tiga kali.
  • Akhiri doa dengan memohon keselamatan hidup di dunia dan akhirat, diikuti selawat ke atas Rasulullah s.a.w dan memuji Allah S.W.T.

Walaupun semua tertib ini diikuti, ia masih belum menjamin doa anda tersebut termakbul sekiranya aspek-aspek lain dalam kehidupan anda tidak dijaga. Pastikan makanan yang anda makan, baju yang anda pakai, kereta yang anda bawa dan rumah yang anda diami datang dari sumber rezeki yang halal.

Memilih waktu untuk berdoa juga memainkan peranan yang penting untuk memperoleh doa yang mustajab. Antara waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa adalah:

  • Sepanjang bulan Ramadan terutamanya Lailatul Qadar.
  • Satu pertiga malam iaitu daripada waktu tengah malam sehingga waktu fajar.
  • Pada hari wuquf di Arafah.
  • Sepanjang hari Jumaat. Ada pendapat ulama’ mengatakan hanya satu waktu sahaja dalam hari Jumaat yang doanya dimakbulkan oleh Allah.
  • Malam dua hari raya iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
  • Setiap kali selepas solat fardhu.
  • Waktu antara azan dan iqamat.
  • Ketika sujud dalam solat fardhu.
  • Selepas solat Asar.

Anda juga perlu berusaha berdoa pada bila-bila masa dan keadaan selain perlu mematuhi adab berdoa. Mungkin doa anda tidak akan ditunaikan dalam masa yang terdekat tetapi anda perlu yakin kepada Allah S.W.T dan sentiasa bersabar memohon doa tersebut.

Bilakah Doa Anda Akan Termakbul?

Sebenarnya, tiada doa yang tidak dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Kita sebagai makhluk sofistikated yang lemah semestinya memerlukan pertolongan dan bantuan dari Pencipta kita. Bila Allah S.W.T akan memakbulkan doa kita, ia adalah hak Allah. Kita perlu terus berikhtiar mencari penawar dan beristiqamah dengan doa. Insya-Allah segala apa yang kita hajatkan pasti tertunai.

 

One thought on “Bagaimana Memperoleh Doa Yang Mustajab?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>