Anda Boleh Mendapat Manfaat Madu Dengan Mencontohi Cara Rawatan Rasulullah S.A.W Ini.

Standard

madu

Sudah 3 kali lelaki itu balik ke rumahnya dan kembali bertanya kepada Rasulullah S.A.W.

Setiap kali dia berjumpa dengan Rasulullah, jawapan yang sama juga diterimanya. Sakit perutnya masih belum pulih lagi. Sudah berapa kali dia buang air besar. Dia masih mengharap sakitnya boleh reda.

“Minumkan dia madu”, sabda Rasulullah* bila lelaki itu mengadu kepada Rasulullah. Kali ini, Rasulullah menambah:

“Sungguh Maha Besar Allah, dan sungguh perut saudaramu ini yang berdusta.”

Sistem penghadaman lelaki itu memang bermasalah. Masakan sudah berkali-kali mengambil madu, sakit perutnya masih ada lagi. Nampaknya madu tidak berkesan untuk merawat sakit orang ini. Bukankah ramai yang mengetahui manfaat madu untuk memulihkan kesihatan?

Khasiat madu di dalam perubatan Islam.

Madu mempunyai banyak khasiat. Ia membantu membersihkan kotoran di dalam usus, menormalkan kelembapan tubuh badan, mancairkan kahak, menguatkan sistem pertahanan tubuh dan banyak lagi.

Madu juga hadir di dalam pelbagai jenis dan citarasa yang tersendiri. Ada yang sukakan madu asli. Ada juga yang meminati madu adunan dari pelbagai bunga.

Ada madu dari jenis poliflora diambil dari ribuan spesies bunga. Ia kaya dengan pelbagai jenis vitamin yang tidak terdapat di dalam madu jenis lain. Ia mengandungi gula semuladi seperti glukosa, sukrosa dan fruktosa yang diperlukan oleh badan untuk menjana tenaga segera.

Di dalam kitab-kitab perubatan Islam, banyak panduan yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W untuk menggunakan madu sebagai makanan dan juga untuk menyembuhkan penyakit.

Rasulullah S.A.W biasanya mengambil madu pada waktu pagi sebelum sarapan. Madu dicampurkan dengan air untuk membersihkan tekak dan air liur. Di dalam kitab Sunan Ibnu Majah, Rasulullah S.A.W telah bersabda yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a :

“Sesiapa yang minum tiga sudu madu dalam tiga pagi sahaja dalam sebulan, dia tidak akan diserang penyakit berat”. Ini menunjukkan bahawa amalan pemakanan madu sememangnya adalah sunnah yang dituntut.

Selain itu, madu juga baik untuk kegunaan luaran. Jika disapu pada rambut dan kulit kepala, ia boleh melebatkan rambut, membunuh kutu dan menghilangkan kelemumur. Jika digunakan untuk menggosok gigi, ia boleh memutihkan dan mengilatkan gigi.

Bahan aktif eucalyptol yang terkandung di dalam madu ini mampu bertindak sebagai antiseptik untuk mencegah jangkitan kuman dan kulat. Jadi, anda boleh menyapukan madu pada kulit yang bermasalah.

Namun, terdapat kaedah tertentu untuk meminum madu seperti yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W.

Minum madu secara berulang-ulang.

Seperti perubatan moden, ubat perlu diambil mengikut dos yang ditetapkan sesuai dengan penyakit yang dialami. Jika dosnya kurang, ia tidak mengurangkan sakit. Jika dosnya berlebihan pula, ia boleh membahayakan badan dan menimbulkan masalah lain.

Untuk kes-kes yang tertentu, pesakit perlu menambah dos madu sehingga mencapai tahap di mana penyakitnya boleh sembuh dengan izin Allah Taala.

Apabila Rasulullah S.A.W menyuruh lelaki tadi minum madu untuk mengubati sakit perutnya, lelaki itu hanya mengambil dalam dos yang sama sebanyak beberapa kali. Sebab itulah sakitnya tidak pulih kerana dos madu yang diambil tidak mampu untuk membuang kotoran sepenuhnya di dalam perut.

Selepas lelaki itu datang kepada Rasulullah mengadu kesakitan yang belum pulih, Rasulullah sangat faham bahawa dos yang diambil oleh lelaki itu tidak mencukupi. Nabi menekankan bahawa lelaki itu perlu terus menambah dos madu sehingga mencapai dos yang sesuai untuk merawat penyakit.

Apabila Rasulullah bersabda “Sungguh Maha Besar Allah dan sungguh perut saudaramulah yang berdusta”, ia bermakna bahawa punca penyakit lelaki itu tidak sembuh lagi adalah bukan kerana madu tetapi kerana perutnya. Lelaki itu perlu menambah dos madu kerana berkemungkinan kotoran di dalam perutnya terlalu banyak dan madu yang diambil juga perlu banyak untuk menyingkirkan kotoran itu.

Kenapa anda perlu kembali kepada perubatan Islam?

Madu adalah sebahagian daripada makanan-makanan sunnah yang digunakan di dalam perubatan Islam. Disebabkan manfaat madu ini yang memang diperakui oleh saintis, maka ramai usahawan Muslim yang mengkomersialkan madu sebagai makanan tambahan untuk kesihatan dan penyembuhan.

Inilah masanya untuk kita mengangkat perubatan komplimentari seperti perubatan Islam supaya setanding dengan perubatan moden. Mungkin masyarakat sekarang agak sukar menerima konsep perubatan yang hanya menggunakan ayat-ayat al-Quran dan keimanan kepada Allah untuk menyembuhkan penyakit. Jika kita faham bahawa al-Quran adalah syifa’ dan penyembuh kesakitan, maka ia tidak menjadi masalah kepada kita untuk menerima perubatan Islam di dalam kehidupan kita.

Mudah-mudahan Allah S.W.T memberi taufik dan hidayah kepada kita semua.

*Dari kitab Sahih Bukhari dan Muslim, dari Abul Mutawakkli, dari Abu Said al-Khudri.

Kredit imej